Oleh Mahdzir Ibrahim
Secara formalnya, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada
1970 sudah tiada selepas tahun 1990, ketika itu Tun Mahathir Mohamad
menjadi Perdana Menteri.
DEB digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional dan kemudian,
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menukarnya sekali lagi
setelah BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen pada PRU ke 12,
menjadi Model Ekonomi Baru (MEB) pada tahun 2010.
Malah dizaman Najib juga, MEB disertai dengan Program Transformasi
Ekonomi atau Economic Transformation Programe (ETP). Intipati kepada
ketiga-tiga dasar ini tetap sama sungguhpun namanya berbeza.
Saya pernah bertanyakan perkara ini dengan rakan-rakan dari kaum
Cina. Adakah mereka merasa tidak selesa dengan DEB atau DPN atau MED.
Jawabnya secara umum, tidak.
Mereka sama sekali tidak merasa risau atau bimbang atau terganggu
dengan agenda DEB, DPN atau MEB kerana beliau mengakui bahawa dasar
tersebut punya sebab yang boleh diterima.
Realiti bahawa majoriti penduduk Malaysia, lebih dari enam puluh
peratus adalah kaum Bumiputera (lebih lima puluh peratus adalah Melayu)
dan kaum majoriti inilah yang paling diancam kemiskinan.
Justeru katanya, kaum Cina atau India juga, tidak pun merasa cemburu
atau merasa terancam, malah mereka boleh memahami dan menerimanya.
Namun, jelasnya lagi bukan niat atau objektif dasar-dasar ini yang
dipertikaikan, tetapi bagaimana dasar ini dilaksana. Inilah juga yang
disepakati oleh ramai rakan-rakan Melayu yang lain.
Rekod lampau
Ratusan billion ringgit telah dibelanjakan sejak Rancangan Malaysia
kedua (1970an) untuk melaksanakan semua dasar-dasar kerajaan ini.
Namun, bukan sahaja objektifnya gagal dicapai malah jika ‘Melayu
masih ingat’, ada direkodkan berlakunya pelbagai skandal penyelewengan
dalam kerajaan.
Ini boleh dilihat sejak dari zaman penswastaan Tun Mahathir (kes
MAS/Tajudin Ramli dan krisis ekonomi 1997), zaman Tun Abdullah Ahmad
Badawi (Laporan Audit Negara seperti kerugian yang ditanggung kerajaan
akibat kelemahan mengurus dalam projek keretapi berkembar Ipoh-Rawang)
hinggalah ke zaman Najib (kes pembelian kapal selam, peralatan tentera
dan kes NFC).
Jika ‘melayu masih ingat’, pada tahun 2011, Global Financial
Integrity melaporkan, sekitar RM888 billion wang haram mengalir keluar
negara dari tahun 2000 hingga 2008.
Ini belum termasuk laporan Ketua Audit Negara tentang pelbagai lagi
ketirisan akibat kecuaian pihak kerajaan, baik diperingkat kementerian,
jabatan dan agensi-agensi kerajaan dalam pelbagai projek yang lain. Ini
pun jika ‘Melayu masih ingat’.
Siri pendedahan dalam Laporan Audit Negara setiap tahun masih gagal
membuahkan tindakan drastik oleh kerajaan dalam menangani rasuah dan
ketirisan dalam pengurusan kerajaan.
Juga, tidak ada banyak tindakan konkrit yang diambil oleh pihak
berkuasa, sebaliknya masih banyak kes dan pendakwaan yang berkaitan
rasuah masih tertangguh.
Peruntukan untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus
meningkat dalam bajet setiap tahun, tetapi indeks persepsi rasuah oleh
CPI Transparency International (TI), telah meletakan Malaysia ditangga
ke 60 pada 2011 yang mendapat peruntukan sebanyak RM203 juta berbanding
RM29 juta pada tahun 1996 ditangga ke 26.
Semuanya senario ini bermula dengan dasar pelaksanaannya.
Apa jaminannya?
Ini memberi indikasi bahawa apa jua dasar dengan apa pun namanya, apa
jua slogan yang indah-indah untuk apa jua tujuannya, tidak dapat
menjamin tahap integriti dan akauntabiliti yang tinggi dalam aspek
pengurusan dan pelaksanaannya.
Transformasi dalam agenda sahaja tidak memadai sebaliknya Malaysia memerlukan reformasi sistem.
Kelmarin, Najib telah mengumumkan langkah untuk memperkasa ekonomi
Bumiputera dalam bentuk dana dan latihan yang akan disalur dan digerakan
menerusi pelbagai agensi seperti TEKUN, IKBN, JPA, MARA, UiTM, Yayasan
Wakaf Malaysia dan banyak lagi, yang menelan belanja ratusan juta
ringgit.
Agenda Memperkasa Ekonomi Bumiputera ini dilaksana dalam suasana
budaya rasuah, sikap cuai dan kronisme yang masih berleluasa, khususnya
bagi mereka yang berkepentingan.
Ingin kita tegaskan lagi, apa pun dasar dan matlamatnya, rakyat tidak
menolaknya secara membuta tuli. Persoalannya mudah, apakah ada jaminan
dari PM bahawa kesemua dana-dana yang akan disalurkan ini akan selamat
sampai ke kelompok sasaran tanpa berulangnya lagi hal ketirisan dan
rasuah?
Dan, adakah jaminan bahawa kumpulan sasaran untuk mendapat latihan tambahan itu benar-benar dari golongan yang memerlukan?
Jika melihat dari reputasi kerajaan BN selama ini, pastinya kita
merasa bimbang dan ragu. Lihat saja institusi seperti Universiti
Teknologi Mara (UiTM), dahulunya ditubuhkan fokus untuk membantu
bumiputera luar bandar yang miskin, tetapi kini praktiknya seakan telah
berubah.
Maka, jalan paling berkesan untuk ‘memperkasa’ ekonomi Bumiputera
ialah dengan ‘memperkasa’ aspek ketelusan (transparency), undang-undang
dan integriti demi memastikan budaya rasuah dan ketirisan dapat
diperangi habis-habisan.
Masalah ketirisan dan rasuah bukan sekadar mengurus persepsi dengan
slogan atau kata-kata indah tetapi ia perlu dilaksana dan dikuatkuasa
dengan segera. Tidak sukar, hanya memerlukan keberanian dan kesungguhan.
“Apa guna pasang pelita, jika tidak dengan sumbunya. Apa guna bermain kata, kalau tidak dengan sungguhnya.”
Penulis ialah peminat seni dan kebudayaan serta Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat, Pemuda Sosialis DAP.
No comments:
Post a Comment