Persoalan
sama ada orang kafir terkena hukum Islam atau tidak sebenarnya tidak
pernah timbul dalam benak kaum Muslimin generasi awal mahupun generasi
setelahnya. Kaum Muslimin dahulu benar-benar faham bahawa satu-satunya
hukuman yang wajib ke atas manusia adalah hukum Allah.
Allah adalah Pencipta manusia dan Allah-lah Yang Maha Mengatur dan Maha Menghukum.
Inilah yang difahami dan diterapkan oleh umat Islam berabad-abad
lamanya. Namun, setelah kelemahan berfikir melanda umat Islam dan
negeri-negeri kaum Muslimin satu per satu jatuh ke tangan penjajah
kuffar, maka di negeri-negeri kaum Muslimin ini telah diterapkan sistem
kufur/sekular penjajah. Setelah mereka memberi kemerdekaan kepada
negeri-negeri ini, pemimpin sekular yang telah dilantik oleh kuffar
penjajah ini tetap meneruskan undang-undang kufur penjajah di samping
sedikit penerapan undang-undang Islam dalam hal ibadat dan kekeluargaan
sahaja. Hasilnya, kaum Muslimin, termasuklah golongan ulama telah
terbiasa dan ‘terbius’ dengan kefahaman bahawa undang-undang Islam
hanyalah untuk orang-orang Islam sahaja, manakala orang-orang kafir
dibiarkan mengamalkan undang-undang kafir.
Betapa terpesongnya
pemikiran di kalangan ulama ini, sehingga ada antara mereka yang
beranggapan bahawa undang-undang kufur (yang dibuat oleh negara) tetap
terpakai ke atas umat Islam manakala orang kafir pula sekali-kali tidak
boleh dikenakan undang-undang Islam ke atas mereka. Apatah lagi di dalam
sebuah negara yang bermasyarakat majmuk, para pemimpin dan ulama yang
ada terus ‘dikuasai’ oleh pemikiran kufur bahawa undang-undang Islam
tidak boleh dilaksanakan ke atas orang-orang kafir, bukan setakat kerana
ia tidak terpakai, malah tidak boleh dilaksanakan kerana perlu ‘menjaga
hati’ orang kafir. Inilah di antara kejayaan kuffar Barat di dalam
memasukkan racun sekular mereka ke dalam tubuh umat Islam.
Setelah sistem demokrasi-pilihan raya diperkenalkan oleh Barat ke atas
negeri-negeri umat Islam dan setiap orang kafir diberi hak mengundi
untuk memilih wakil rakyat, maka para pemimpin dan ulama Islam terjerat
sekali lagi di mana untuk mereka meraih pemerintahan, mereka mesti
mendapat sokongan/undi dari orang kafir, maka ‘hati’ orang kafir perlu
dijaga agar menyokong/mengundi mereka. Oleh sebab sebahagian besar orang
kafir (sekarang) tidak mahu atau tidak suka kepada undang-undang Islam,
maka usaha-usaha dilakukan untuk memberi kefahaman kepada orang kafir
bahawa undang-undang Islam tidak terkena ke atas mereka.
Jadi,
tidak hairanlah jika ramai di kalangan umat Islam yang, walaupun
sayangkan Islam, namun oleh kerana sudah lama hidup dalam sistem sekular
di mana racun ini sudah menjadi sebati dalam diri mereka, memahami
bahawa hukum Allah ini hanyalah untuk orang Islam semata-mata, manakala
orang kafir tidak terkena hukum Allah, tetapi diberi alternatif. Mereka
menyatakan bahawa perlaksanaan hukum hudud, qisas dan ta'zir hanya
dikenakan ke atas orang Islam sahaja manakala penduduk bukan Islam
diberi pilihan sama ada hendak menerima hukum tersebut atau tetap
berhukum dengan hukum kufur. Untuk menyokong pendapat ini, mereka
beristidlal dengan firman Allah,
“Jika mereka datang kepadamu
(untuk meminta keputusan), maka putuskanlah (perkara itu) di antara
mereka, atau berpalinglah dari mereka. Jika kamu berpaling dari mereka,
maka mereka tidak memberi mudharat kepadamu sedikitpun. Dan jika kamu
memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah (perkara itu) di antara
mereka dengan adil. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil”
[TMQ al-Maidah (5):42].
Mereka seterusnya menafsirkan ayat ini
bahawa Allah memberi pilihan kepada orang kafir sama ada untuk menerima
hukum hudud, qisas dan ta'zir atau memilih untuk berhukum dengan hukum
mereka (hukum kufur). Lafaz “fa in ja’uka fahkum bainahum au a’ridh
anhum” (jika mereka datang kepada mu, maka putuskanlah di antara mereka
atau berpaling dari mereka) mereka tafsirkan sebagai ‘pilihan’ yang
diberi kepada ‘orang kafir’ sama ada untuk berhukum dengan hukum Islam
atau pun hukum kufur. Oleh yang demikian, mereka telah menyatakan bahawa
orang kafir yang tinggal dalam negara Islam tidak terkena hukum Islam,
kecuali orang kafir itu sendiri memilih untuk berhukum dengan hukum
Islam.
Mengkaji dengan teliti dari aspek mafhum, mantuq dan
juga asbabunuzul ayat di atas, maka kita dapati bahawa tafsiran yang
dibuat adalah amat salah dan mengelirukan. Dari segi lafaz itu sendiri,
kita memahami bahawa:
(i) Allah memberi pilihan kepada Rasulullah (sebagai Ketua Negara) bukannya kepada orang kafir; dan
(ii) Pilihan yang diberi itu adalah sama ada untuk menghukum orang
kafir (fahkum) dengan hukum Islam atau berpaling dari mereka (a’ridh),
bukannya pilihan untuk berhukum dengan hukum Islam atau berhukum dengan
hukum kufur. ‘Berpaling’ maksudnya tidak menghukum (membiarkan) mereka.
Secara ringkasnya dapat kita simpulkan bahawa ayat ini ditujukan kepada
Rasulullah (sebagai Ketua Negara) dan Allah memberi dua alternatif
kepada Rasul sama ada ingin menghukum kesalahan mereka dengan hukuman
Allah atau membiarkan mereka tanpa dihukum. Untuk menjelaskan lagi
perkara ini, kita boleh melihat pandangan beberapa ulama muktabar
berkenaan dengan hukum fiqh yang mereka istinbat dari ayat ini:-
Ibnu Kathir menyatakan:
Jika mereka (orang kafir) datang kepada kamu (iaitu) untuk meminta
pengadilan dari kamu, maka hakimilah antara mereka, atau biarkan mereka.
Jika kamu berpaling daripada mereka, maka mereka tidak akan dapat
membahayakanmu sedikit pun. Maka tidak mengapa untuk kamu tidak
mengadili persengketaan di antara mereka kerana sebenarnya mereka tidak
berniat untuk berhukum kepada kamu berdasarkan hak, tetapi mereka
inginkan apa yang sesuai dengan hawa nafsu mereka [Ibnu Kathir, Tafsir
Al-Quran Al-Azhim]. Qusairy menyatakan: Tidak wajib ke atas kita untuk
mengadili di antara mereka bila mereka bukan kafir zimmi tetapi kita
boleh mengadili mereka jika kita mahu [Imam Al-Qurthubi, Al-Jami’li
Akhamil Quran]. Sa'id bin Jubair menjelaskan: Jika mereka (orang Yahudi)
datang kepadamu (untuk meminta keputusan), maka putuskanlah (perkara
itu) di antara mereka atau berpalinglah dari mereka. Dalam ayat ini
Allah memberikan keluasan bagi seorang hakim untuk memilih antara
memutuskan perkara mereka atau tidak menghukum, dan membiarkannya
terkontang-kanting [Ibnu Jawzi, Nawasikhul Qur’an].
Dari aspek
asbabun nuzul ayat di atas, kita akan lebih memahami maksud ayat
tersebut dengan benar apabila melihat kepada sebab penurunan ayat ini di
tambah dengan memahami kedudukan/aspek geo-politik orang kafir (Yahudi)
yang disebutkan di dalam ayat tersebut. Imam Sayuthi menjelaskan,
“Seorang lelaki dari suku Yahudi di Fadak telah berzina, lalu
orang-orang Fadak menulis surat kepada Yahudi di Madinah supaya bertanya
kepada Muhammad Sallallahu ‘alihi wa Sallam tentang hukum orang yang
berzina itu. Jika Muhammad memerintah untuk disebat, maka terimalah,
tetapi jika Muhammad memerintah untuk direjam, maka tolaklah. Orang
Yahudi bertanya dan Rasulullah Sallallahu ‘alihi wa Sallam pun menjawab
akan mereka, lalu sebagaimana dinyatakan di dalam hadis, turunlah ayat
“Jika mereka datang kepadamu, maka hukumlah mereka atau berpaling dari
mereka” [Imam Sayuthi, Tafsir Jalalain & Kitab Lubabunuqul Fi
Asbabinuzul].
Kita perlu memahami bahawa Fadak adalah sebuah
kota di utara Hijaz, tidak jauh dari Khaibar dan berada di luar dari
Daulah Islam Madinah. Jauhnya 2-3 hari perjalanan menaiki unta dari
Madinah. Kota ini sekarang telah ditukar namanya kepada Kampung Huwayyit
(berkedudukan di luar Madinah). Jarak sebenar antara Madinah (24°27’U,
39°37’T) dan Huwayyit (25°35’U, 40°22’T) lebih kurang 150 km dengan
pengukuran secara rentas. Berdasarkan hal ini, kita perlu faham bahawa
Yahudi yang dimaksudkan dalam ayat di atas bukan Yahudi dari kafir zimmi
(kafir yang tinggal dalam Daulah Islam) tetapi mereka adalah dari
kelompok Yahudi yang tinggal di luar Madinah (bukan warganegara Daulah).
Dengan kata lain, ayat di atas adalah khusus untuk kes kafir warga
asing yang ingin berhukum dengan hukum Islam, bukannya ayat berkenaan
kafir warganegara Daulah (kafir zimmi).
Di sini satu lagi
kesalahan pihak yang menafsirkan ayat di atas apabila mereka tidak
melihat akan fakta ini. Hukum ke atas kafir zimmi (kafir warganegara
Daulah) berbeza dengan hukum ke atas kafir yang bukan warganegara
Daulah. Oleh itu, adalah satu kesalahan fatal apabila menjadikan ayat
ini sebagai dalil untuk menunjukkan bahawa kafir yang tinggal dalam
negara (zimmi) tidak terkena hukum Allah.
Kafir zimmi,
sebagaimana yang akan diterangkan nanti, adalah terikat dengan hukum
Islam, tidak sebagaimana kafir yang bukan warganegara. Bagi kafir yang
tinggal di luar Daulah Islam, tetapi mereka ingin berhukum dengan hukum
Daulah (hukum Allah), maka Ketua Negara boleh memilih untuk menghukum
mereka (dengan hukum Allah), atau membiarkan mereka (tidak menghukum).
Tetapi Ketua Negara sekali-kali tidak dibenarkan menghukum mereka
mengikut hukum mereka/kufur. Jika kita menghukum mereka mengikut hukum
kufur, maka ini adalah satu dosa dan keharaman kerana kita telah
berhukum bukan dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah. Seseorang
itu boleh menjadi kafir, zalim atau fasik sekiranya tidak memutuskan
hukum dengan apa yang Allah telah turunkan (lihat Surah al-Maidah
[5]:44, 45 & 47).
Dalam banyak ayat lain lagi, Allah
Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan bahawa haram bagi orang Islam untuk
memutuskan hukum selain dengan Kitabullah. FirmanNya,
“Maka
putuskanlah perkara atas mereka menurut apa yang Allah turunkan (hukum
Islam), dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan
meninggalkan kebenaran (hukum Islam) yang telah datang kepadamu” [TMQ
al-Maidah (5):48].
Allah juga berfirman,
“Sesungguhnya
Kami telah menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya
kamu menghukum antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan
kepadamu” [TMQ an-Nisa (4):105].
Ayat-ayat ini berbentuk umum
dan ada ayat yang mana Allah menggunakan lafaz “manusia” yang
menerangkan kepada kita bahawa, dalam keadaan kita mengadili sesuatu kes
atau ingin menghukum, maka hukum Allah-lah satu-satunya hukum yang
wajib dilaksanakan ke atas semua manusia (bukannya ke atas orang Islam
sahaja) dan langsung tidak ada kebenaran/perintah dari Allah untuk kita
(orang Islam) berhukum atau menghukum manusia dengan hukum selain hukum
Allah.
Kafir Zimmi Terikat Dengan Hukum Islam
Kewajiban melaksanakan hukum Islam ke atas kafir zimmi merupakan satu perkara yang teramat jelas di dalam Islam.
Tidak ada khilaf di kalangan ulama tentangnya dan kafir zimmi yang
telah hidup di dalam Daulah Islam selama lebih 13 abad pun mematuhi hal
ini. Kita perlu memahami bahawa hukum Islam adalah hukum Negara,
bukannya hukum ke atas individu Muslim sahaja. Contoh yang mudah sahaja
seperti hukum potong tangan untuk si pencuri – ini adalah hukum negara
di mana tidak kiralah sama ada pencuri itu Muslim atau kafir, maka wajib
dipotong tangannya. Begitu jugalah dengan hukum rompak, bunuh, judi,
riba, rogol, zina dan sebagainya. Hukum Islam adalah hukum yang wajib
diterapkan oleh pemerintah ke atas setiap warganegara.
Di dalam
kehidupan Daulah Islamiyyah, orang-orang kafir zimmi (sesuai dengan
akad zimmah dengan Negara Daulah) hanya dibolehkan menjalankan
hukum-hakam yang berhubungan dengan akidah, ibadah, makanan,
perkahwinan, kematian dan sejenisnya menurut hukum-hakam agama mereka,
asalkan tidak menam¬pakkan syi'ar-syi'ar agama mereka di hadapan kaum
Muslim. Namun, dalam perkara yang menyangkut hukum-hakam umum iaitu
mua’malat dan uqubat (hudud, qisas, ta’zir dan mukhalafat), maka atas
mereka (orang-orang kafir zimmi) diterapkan hukum¬-hakam Islam
sepenuhnya.
Sebenarnya kedudukan mereka sebagai warganegara
Daulah Islamiyah adalah sama dengan kaum Muslimin dari aspek hak dan
tanggungjawab sebagai warganegara. Surah al-Maidah (5):48 dan juga
an-Nisa (4):105 di atas sudah cukup menunjukkan bahawa hukum-hukum Islam
itu wajib dilaksanakan ke atas seluruh warga negara, sama ada Muslim
mahupun kafir zimmi.
Teramat salahlah pandangan yang menyatakan
bahawa kafir zimmi tidak terikat dengan hukum Islam. Sungguh jauh dari
kebenaran pandangan ini dan teramat ganjil sekali. Apa tidaknya, istilah
dan pengertian ‘zimmi’ itu sendiri bermaksud “perlindungan yang
diberikan kepada mereka kerana ketundukan mereka kepada hukum-hakam
Daulah (hukum Islam)”. Status ‘zimmi’ (perlindungan) diberikan kepada
mereka sebagai balasan dari ‘jizyah’ yang mereka bayar kepada Daulah.
Dan jizyah ini adalah hukum Islam, bukan hukum kufur. Jadi, bayaran
jizyah yang dikenakan ke atas kafir zimmi ini adalah terlalu jelas dan
nyata dan secara automatiknya menunjukkan kepada kita bahawa kafir zimmi
wajib mengikut atau tunduk kepada hukum Islam. Dengan kata lain, jika
kafir zimmi tidak tertakluk kepada hukum Islam, maka tidak perlulah
mereka membayar jizyah. Dan hal ini demi Allah sesungguhnya tidak akan
terjadi (kerana kafir zimmi wajib membayar jizyah dengan maksud mereka
wajib tunduk kepada hukum Islam). Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,
“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak
beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang
telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak beragama dengan
ugama yang benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum
Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar jizyah dengan keadaan
tunduk patuh” [TMQ at-Taubah (9):29].
Apabila orang-orang kafir
zimmi menolak untuk dihukumi dengan hukum-hakam Islam, maka Khalifah
wajib memaksa mereka untuk tunduk. Rasulullah Sallallahu ‘alihi wa
Sallam pernah menulis surat kepada penduduk Najran yang beragama
Nasrani, dengan kalimat yang amat tegas sekali, di mana sabda baginda,
“Sesungguhnya siapa saja di antara kalian yang melakukan transaksi (jual
beli) dengan riba, maka tidak ada lagi perlindungan (zimmah) atasnya.”
Kedudukan penduduk Najran waktu itu adalah sebahagian dari Daulah
Islamiyyah. Selain ini, terdapat banyak hadis yang jelas menunjukkan
bahawa orang-orang kafir yang hidup di dalam Daulah Islam adalah dihukum
menurut hukum Islam atas kesalahan yang telah mereka lakukan. Dalam
sebuah hadis riwayat dari Anas, “Seorang Yahudi telah menyepit kepala
seorang perempuan dengan dua buah batu.
Kemudian ditanyakan
kepadanya siapakah yang melakukannya? Ia menjawab, ‘sifulan atau
sifulan’ dengan menyebut nama seorang Yahudi. Rasulullah Sallallahu
‘alihi wa Sallam bertanya, ‘Apakah engkau telah menyepit kepalanya?’
Yahudi itu akhirnya mengakui perbuatannya. Kemudian Rasulullah
Sallallahu ‘alihi wa Sallam memerintahkan untuk menyepit kepala Yahudi
itu dengan dua buah batu (iaitu membunuhnya)”. Dalam riwayat Muslim
disebutkan, “...maka ia dibunuh lantaran ia datang kepada Nabi dengan
menyerahkan jiwanya”
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim,
“Bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alihi wa Sallam telah pun menghukum
rejam dua orang Yahudi. Kedua-dua itu sebelum berzina telah merasai
persetubuhan melalui perkahwinan di dalam agamanya”.
Imam
Nawawi dalam Minhaj At-Thalibin menyatakan, “Dan had (hudud) untuk
penzina muhsan, mukallaf yang merdeka adalah rejam. Syarbini berkomentar
menjelaskan ungkapan ini, “..kerana Nabi telah merejam dua orang Yahudi
sebagaimana diriwayatkan dalam Sahihain, dalam tambahan riwayat Abu
Daud, ‘mereka berdua adalah muhsan’. Tambahan lagi, akad zimmah adalah
syarat untuk melaksanakan hudud ke atas zimmi, bukan kerana statusnya
muhsan” [Nihayat Muhtaj VII:427].
Teramat banyak dan nyata
sekali dalil di dalam Al-Quran dan juga Al-Hadis yang menunjukkan bahawa
hukum Islam terpakai ke atas orang kafir. Adalah wajib ke atas
pemerintah menghukum pesalah ini dengan hukum Allah. Orang kafir yang
berzina, mencuri, membunuh, makan riba dan sebagainya wajib dihukum
dengan apa yang telah Allah turunkan. Teramat jelas juga berdasarkan
Quran dan Sunnah bahawa menghukum orang kafir berdasarkan undang-undang
kufur adalah haram dan berdosa dan merupakan satu kemaksiatan kepada
Allah.
Konsep dualisme hukum/undang-undang yang ada sekarang
adalah sama sekali bercanggah dengan nas kerana Allah sama sekali tidak
membenarkan umat Islam untuk memutuskan hukum dengan selain hukumNya.
Hukum Allah wajib diambil dan dilaksanakan sebagaimana yang Allah
perintahkan, bukannya diambil atau dilaksanakan berdasarkan kehendak
atau apa yang disukai oleh orang kafir. Janganlah sekali-kali kita
sebagai umat Islam terjerat dengan sistem kufur-sekular yang ada
sehingga kita mengambil hukum Allah sebagai alat untuk mengambil hati
orang-orang kafir. Ingatlah akan firman Allah,
“Dan hendaklah
engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah
diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu
mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari
sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika
mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah,
hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab sebahagian dari
dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu
adalah orang-orang yang fasik” [TMQ al-Ma’idah (5):49].
No comments:
Post a Comment