Jenis-jenis rasuah
Komen berikut yang tersiar dalam blog MalaysiaToday menarik perhatian saya. Berikut petikannya untuk renungan bersama. Komen tersebut dipostkan oleh blogger MalaysiaTodayFC. Menurutnya rasuah itu terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:
Jenis pertama:Sesuatu
yang dengannya menyampaikan kepada mengambil sesuatu tanpa hak, seperti
sesuatu yang disogok oleh seseorang kepada pemerintah/penguasa atau
pihak yang bertanggungjawab untuk memperolehi pengguguran terhadap
sesuatu yang semestinya ditunaikan, atau kerana mahu mendapatkan sesuatu
sebelum tiba masanya, atau kerana mahu melariskan pengedaran barangan
yang telah rosak atau sebagainya.
Ini adalah dari jenis rasuah
yang paling teruk dan besar dosa dan mudaratnya kepada masyarakat Islam
dan selain Islam. Inilah yang dimaksudkan oleh Firman Allah:
"Dan
janganlah kamu makan hartabenda kamu di antara kamu dengan batil dan
kamu ajukan perkara itu kepada penguasa (hakim) dengan maksud supaya
kamu makan sebahagian dari harta orang lain dengan dosa, sedangkan kamu
mengetahui." (al-Baqarah: 188)
(Lihat al-Feqhul Wadhih, vol 2, Dr. Muhmad Bakr Ismail, hal.610)
Sebagai
orang asing dia semestinya mempunyai visa ketika berada di Malaysia,
tetapi dia menyogok kepada pihak yang berwajib untuk melepaskan
kewajipan ini dari dirinya.
Sepatutnya projek A di luluskan
selepas mendapat kelulusan dan persetujuan dari beberapa pihak, tetapi
syarikat B telah menyogok wang kepada mereka yang berkenaan agar projek
itu diberi kelulusan segera.
Barangan yang telah luput tarikhnya
atau yang tidak menepati standard yang dikehendakki, sepatutnya tidak
boleh diberi kelulusan untuk diedarkan kepada pengguna. Namun pihak
pengeluar telah menyuap pihak yang berwajib agar diberi kelulusan
pengedaran.
Jenis kedua:Iaitu
sogokan yang dapat menghilangkan hak dari pemiliknya sebagai tindakan
balas dendam kerana cemburu, dengki dsbnya. Jenis ini ada kemiripan
dengan jenis yang ertama, malahan ia boleh dimasukkan ke dalam jenis
berkenaan.
Apakah ada perbuatan yang lebih zalim lagi selain dari
perbuatan menganiaya seorang saudara terhadap saudaranya yang lain
dengan cara di atas? Ya, memang tiada perbuatan yang paling zalim, keji,
runtuh akhlak, pemalsuan selain dari memakan harta manusia dengan cara
yang batil dan keji. Ia tidak akan dilakukan melainkan oleh orang-orang
yang keji, mati hatinya dan sesat pegangannya di dunia.
Di dunia
ini, tiada sesuatu yang paling hina, keji dan jahat melainkan mereka
yang curang dari kalangan pemerintah, penguasa dan pihak berwajib kerana
menyia-nyiakan amanah yang diberikan, melenyapkan hak seseorang dari
pemiliknya.
(Ibid., hal. 613)
Kerana persaingan yang hebat,
maka A menyogok pihak yang bertanggungjawab agar mengenepikan projek
yang sepatutnya diperolehi oleh syarikat B.
Kerana cemburu dengan
kejayaan keluarga A, maka C telah menyogok agar permohonan bantuan
pinjaman oleh anaknya yang belajar di Univerisiti dibangkusampahkan.
Jenis ketiga:Iaitu sogokan yang diberikan untuk memperolehi satu-satu jawatan atau pekerjaan (&projek, kontrak dsbnya ).
Hukumnya
adalah haram dengan ijmak umah, sebagaimana jenis pertama dan kedua.
Dan, samada pemberi rasuah, penerima dan perantaranya, mereka kan
memperoleh dosa yang sama.
(ibid.)
Lebih-lebih diharamkan lagi
ialah apabila seseorang itu menyogok untuk memperoleh satu jawatan yang
dia tidak mempunyai kelayakan. (ibid.)
A tidak mempunyai
kelayakan untuk menjabat jawatan C, tetapi kerana ayahnya seorang yang
berharta maka pihak yang berkenaan disogok jawatan berkenaan diberikan
kepada A.
Sykt A sepatutnya bersaing dengan syarikat-syarikat
lain untuk mendapatkan tender kontrak/projek, tetapi sykt A telah
menyogok sebahagian pegawai yang bertanggungjawab. Sykt A mendapat
kontrak berkenaan.
En. A adalah salah seorang pegawai yang
bertanggungjawab meluluskan standard bangunan atau jambatan di jabatan
X. Dalam suatu pemeriksaan yang dilakukan di tapak binaan jambatan kg B,
di dapati boleh diluluskan. Dan sykt C yang bertanggungjawab
menjalankan projek berkenaan telah menyogok En. A dengan sejumlah wang.
Lalu.. Projek berkenaan telah diluluskan.
Hukum rasuah kerana menolak mudarat atau mengembalikan hak yang hilang"Kadangkala
seseorang itu terpaksa menyogok sejumlah wang kepada
pemerintah/penguasa yang keji atau pemeras yang zalim untuk mengelakkan
mara bahaya dari keluarganya. Di mana jika dia tidak menyogok, mara
bahaya itu memang benar-benar akan berlaku. Ketika itu apa yang perlu
dilakukan?
Atau kadangkala dia mempunyai hak tertentu, tetapi hak
itu tidak akan diperolehi kecuali selepas membayar sejumlah wang.
Ketika itu apa yang mesti dilakukan?
Apaka dia perlu mendedahkan
diri dan keluarga kepada mara bahaya yang akan datang? Dan apakah di
perlu membiarkan haknya itu hilang dan terlepas kerana takutkan dosa
rasuah? Atau apakah dia perlu membayar sejumlah wang untuk tujuan
memelihara diri dari mudarat atau mengambil hak yang sepatutnya
diperolehinya?
Jawapannya: Wallahu a'lam… Apabila mara bahaya
yang akan datang itu diperkira-kirakan amat dahsyat sehingga tidak
sanggup ditanggungnya, atau haknya yang akan hilang itu tidak akan
menjejaskan dengan teruk kehidupannya, maka ketika itu dihukumkan dengan
hukum darurat/terpaksa sebagaimana dibenarkan memakan bangkai ketika
terdesak. Bolehlah membayar sogokan itu kepada penguasa yang zalim itu
dengan maksud mahu memelihara diri dari kemudaratan. Dosa dikenakan
kepada penerima sogokan itu sahaja, tidak kepada penyogok yang
dizalimi." (Ibid.)
Hadiah kepada hakim dan penguasa
Hakim,
penguasa atau sesiapa sahaja yang mempunyai kekuasaan wajibah
berhati-hati dari menerima hadiah yang diberikan dia dia sedang memegang
jawatan berkenaan. Kewajipan berhati-hati apabila dia meragui tentang
niat di sebalik hadiah yang dihulurkan. Niat mahu mendekatkan diri
mereka kepadanya atau niat untuk memperoleh sesuatu berbentuk kebendaan
atau maknawi dan seumpamanya. Niat-niat begini tidak dapat disorokkan.
Hadiah-hadiah berkenaan mampu mempengaruhi seseorang yang berkuasa dalam
membuat keputusannya. Dan haram menerima hadiah berkenaan jika di ragui
ia adalah sebagai perantara untuk memperoleh sesuatu. (ibid. 614)
Terkecuali…
Hadiah-hadiah yang dihulurkan sebelum dia menjabat jawatan tertentu
oleh rakan-rakan, kaum kerabat dan jiran-jirannya. (ibid)
Jelaslah
bahawa hadiah yang dihulurkan ketika dia memegang jawatan tertentu
adalah haram diterima jika diragui (zhan) ada niat serong disebaliknya.
Untuk menetapkan ia tidak boleh diterima hendaklah menggunakan keraguan
sahaja tidak semestinya dengan keyakinan.
Beza antara rasuah dan hadiah
Adalah penting untuk mengelakkan diri dari terkeliru dalam menentukan apakah ia rasuah atau hadiah.
Rasuah
ialah hadiah yang dihulurkan kepada seseorang yang mempunyai kuasa
tertentu bertujuan untuk membatalkan hak seseorang, atau menetapkan hak
yang tidak sepatutnya, atau untuk memperolehi jawatan atau pekerjaan
yang tidak selayaknya.
Hadiah pula ialah: Harta yang dihulurkan
bertujuan mendekatkan seseorang dengan saudaranya yang lain kerana cinta
dan kasih, atau supaya mereka dapat bantu membantu atas kebaikan dan
takwa, atau untuk menjadi rakan kongsi dalam suka dan duka - tanpa ada
di sebaliknya itu suatu niat rasuah.
Kita memberi hadiah kepada
sahabat kita kerana mahu mempereratkan tali silatul rahim, agar dengan
itu dia dapat bantu-membantu di dalam urusan iman dan Islam atau dapat
berkongsi perasaan ketika suka dan duka.
Masalah:Dengan
penjelasan di atas, kami kira kemusykilan yang dihadapi oleh salah
seorang saudari kita dari Paka, Terengganu telah terjawab. Pertanyaan
kepada pihak aL-AHKAM online yang lebih kurang berbunyi:
Saya
bekerja dengan sebuah syarikat multinasional di Malaysia sebagai Pegawai
yang bertanggungjawab dalam soal pembelian melalui tender dan kontrak.
Dalam menjalankan kerja seharian ramai kontraktor-kontraktor dan
pembekal-pembekal yang menjadi kawan. Ada yang mengajak makan tengahari,
ada yang memberi saguhati berupa pen, topi, dairi, kalendar. Ada yang
menganjurkan seminar dan membayar segala perbelanjaan perjalanan, hotel
dan lain-lain. Ada yang memberi pinjam kereta dan bermacam-macam khidmat
percuma lagi.
Soalan saya :-
1. Adakah semua ini dikategorikan sebagai rasuah dan tidak dibolehkan oleh syarak ?
2.
Jika mereka yang telah menjadi kawan itu mengatakan itu adalah atas
dasar persahabatan, apakah hukumnya pada saya yang menerima ?
3. Apakah ada cerita-cerita dari kitab-kitab muktabar yang boleh dijadikan panduan ?
Jawab:Ini adalah sekadar penambahan sahaja.
Umar
bin Abdul Aziz ketika menjawat jawatan khlifah pernah diberi hadiah,
tetapi ditolaknya. Kemudian dikatakan kepadanya: "Rasulullah sendiri
sudi menerima hadiah." Umar menjawab: "Apa yang diterima oleh Nabi itu
memang hadiah, tetapi ini bagi saya adalah sogokan." (Lihat al-Halal Wal
haram Fil Islam).
Imam al-Ghazali berkata di dalam al-Ihya'
Ulumuddin, jika larangan (rasuah) itu begitu tegas, maka sepatutnya
seorang hakim atau penguasa - dan yang seumpamanya - memperkira-kirakan
dirinya semasa tinggal bersama ayah dan ibunya. Kalau dia diberi hadiah
selepas meletakkan jawatannya tetapi ketika itu dia masih tinggal
bersama ayah dan ibunya, maka boleh diterimanya ketika dia sedang
memegang jawatan itu. Tetapi kalau dia tahu pemberian itu kerana
jawatannya, maka haram dia menerimanya. Dan hadiah-hadiah kawannya yang
masih diragukan, apakah kalau dia melepaskan jawatan berkenaan mereka
akan memberinya? Maka hal berkenaan dilihat sebagai barang syubhat, oleh
itu jauhilah. (ibid.)
Bagaimana jika anda tidak memegang jawatan
berkenaan? Apakah mereka ini akan menghulurkan hadiah? Hadiah dari
seseorang atas dasar persahabatan lain, manakala atas dasar rasuah atau
kerana anda sedang memegang jawatan itu adalah berbeza.
Berhati-hatilah
dalam membuat perbedaan antara hadiah dan sogokan.. Jika gagal, anda
akan terjebak ke dalam satu dosa, jenayah dan penzaliman yang paling
keji. Malah dapat memberi kesan yang tidak sihat kepada masyarakat Islam
atau bukan Islam.