Cinta adalah rezeki. Bak kata Nabi s.a.w tentang isterinya Khadijah:
"Aku telah direzekikan cintanya" (Riwayat Muslim). Apabila ada orang
mencintai kita itu merupakan rezeki kerana bukan semua orang dicintai.
Seseorang yang beristeri ataupun bersuami belum tentu mendapat nikmat
'dicintai' ataupun 'mencintai'. Apabila kita mempunyai isteri ataupun
anak yang cinta dan kasih kepada kita maka bersyukur atas rezeki cinta
itu.
Apabila ada orang tampil menyatakan cinta dan kasih kepada
kita, maka kita bersyukur. Mungkin kita dapat membalaskan kembali
cintanya dalam bentuk ikatan tertu, mungkin juga tidak. Namun rasa
cintanya kepada kita amat kita syukuri kerana ramai orang tercari-cari
cinta dan kasih sayang di sana-sini tidak berjumpa sedangkan kita
memperolehinya. Apa yang penting urusan cinta dan kasih itu dikendalikan
dengan cara yang betul.
Apabila seorang sahabat memberitahu Nabi
s.a.w bahawa dia menyayangi seseorang kerana Allah. Nabi s.a.w
menyatakan: "Beritahulah dia". Lalu orang itu memberitahunya: "Aku
mencintaimu kerana Allah". Lelaki itu menjawab: "Moga Allah mencintai
engkau yang mencintaiku keranaNYA". (Riwayat Abu Daud).
Terima kasih kepada semua mesej cinta dan kasih, moga Allah memberikan kebaikan untuk kita semua.
No comments:
Post a Comment