Kata tokoh fekah semasa yang terkenal al-Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili:
“Kata majoriti ulama: Tidak wajib bertaklid kepada imam tertentu dalam
semua masalah atau kejadian yang berlaku. Bahkan harus untuk seseorang
bertaklid kepada mana-mana mujtahid yang dia mahu. Jika dia beriltizam
dengan mazhab tertentu, seperti mazhab Abu Hanifah, atau al-Syafi’i atau
selainnya, maka tidak wajib dia berterusan. Bahkan boleh untuk dia
berpindah-pindah mazhab. Ini kerana tiada yang wajib melainkan apa yang
diwajibkan Allah dan RasulNya. Allah dan RasulNya tidak pula mewajibkan
seseorang bermazhab dengan mazhab imam tertentu. Hanya yang ALLAH
wajibkan ialah mengikut ulama, tanpa dihadkan hanya tokoh tertentu, dan
bukan yang lain. Firman Allah:(maksudnya): Maka bertanyalah kamu kepada
ahli ilmuwan jika kamu tidak mengetahui (an-Nahl:43)
Ini kerana mereka yang bertanya fatwa pada zaman sahabah dan tabi’in tidak terikat dengan mazhab tertentu. Bahkan mereka bertanyakan
sesiapa sahaja yang mampu tanpa terikat dengan hanya seorang sahaja.
Maka ini adalah ijmak (kesepakatan) dari mereka bahawa tidak wajib
mengikut hanya seseorang imam, atau mengikut mazhab tertentu dalam semua
masalah. Kemudian, pendapat yang mewajibkan beriltizam dengan mazhab
tertentu membawa kepada kesusahan dan kesempitan, sedangkan mazhab
adalah nikmat, kelebihan dan rahmat. Inilah pendapat yang paling kukuh
di sisi ulama Usul al-Fiqh…
Maka jelas dari pendapat ini, bahawa
yang paling sahih dan kukuh di sisi Ulama Usul al-Fiqh adalah tidak
wajib beriltizam dengan mazhab tertentu. Harus menyanggahi imam mazhab
yang dipegang dan mengambil pendapat imam yang lain. Ini kerana
beriltizam dengan mazhab bukan suatu kewajipan –seperti yang
dijelaskan-. Berdasarkan ini, maka pada asasnya tidak menjadi halangan
sama sekali pada zaman ini untuk memilih hukum-hakam yang telah
ditetapkan oleh mazhab-mazhab yang berbeza tanpa terikat dengan
keseluruhan mazhab atau pendetilannya” (Al-Zuhaili, Dr Wahbah, al-Rukhas
al-Syar’iyyah, m.s. 17-19, Beirut: Dar al-Khair).
No comments:
Post a Comment