Ekoran
dari pencerahan hukum suami makan gaji isteri yang disiarkan oleh
Wanita Hari Ini TV3 kami menerima banyak permintaan untuk mengulas lebih
lanjut beberapa kontroversi dalam isu ini. Persoalan apakah benar gaji
isteri hak suami atau apakah hukum suami memakan harta isteri?
Kami sudah lihat rakaman WHI itu dan tidak nampak sebarang percanggahan secara
langsung. Kami lihat ia banyak mencetus rasa tidak puashati yang memang
sedang subur dalam banyak rumahtangga moden dewasa ini. Pendekatan
hujah lebih bersifat komersial di mana ia lebih mengajak pasangan ke
mahkamah. Ini lebih kepada menyuburkan perbalahan antara suami isteri,
samada ia membawa penceraian atau tuntutan selepas pasangan bercerai.
Pertamanya
ingin kami jelaskan lagi bahawa selepas sahaja akad nikah, dosa pahala,
tanggungjawab nafkah seorang wanita adalah menjadi tanggungjawab suami
secara mutlak. Itu soal pokoknya.
APA HUKUM ISTERI BANTU SUAMI BEKERJA?
Hal
itu sudah dijelaskan dalam siri artikel dilema isteri berkerjaya.
Perintah Allah ialah agar isteri duduk dirumah, menjaga rumahtangga,
anak dan harta tinggalan suami. Fatimah r.a., Puteri Rasulullah s.a.w.
sendiri membantu suaminya membuat roti tetapi tetap dirumah. Ada juga
pasangan yang ikut berkerja, tetapi mereka bekerja dengan suami mereka,
berniaga dan sebagainya. Pelajarannya ialah selagi rumahtangga tidak
terabai dan tiada fitnah nusyuz maka hukumnya harus. Keperluan utama
ialah kedamaian dan kesejahteraan rumahtangga.
Jika pendapatan
suami mencukupi untuk menyara kehidupan yang sederhana dan ditambah
dengan habit berpuasa, maka isteri tidak harus keluar bekerja. Dalam hal
ini suami boleh jatuh dayus jika ia masih membenarkan apatah lagi
menyuruh isteri keluar bekerja. Ini bagi mengelak fitnah nusyuz dan
menjaga kebajikan anak-anak di rumah.
APA HUKUM SUAMI MAKAN GAJI ISTERI?
Asas
hujah kami ialah pencarian nafkah itu tanggungjawab suami. Isteri
bekerja adalah dengan kebenaran suami. Namun begitu kami juga telah
jelaskan bahawa suami yang bermaruah tidak akan memaksa isteri bekerja. Jika
terpaksa juga maka ia adalah atas dasar desakan kehidupan dimana
pendapatan suami tidak cukup. Ia juga atas persetujuan bersama.
Sekiranya suami cukup pendapatan, ketetapan Allah ialah agar isteri
kekal di rumah. Tiadalah isu suami makan gaji isteri dalam hal ini.
Semak
semula UNTUNGRUGI ISTERI BEKERJA termasuk contoh-contoh yang telah kami
beri. Bagi kami perbelanjaan yang tidak seharusnya keluar sekiranya
isteri tidak bekerja seperti kenderaan tambahan, belanja perjalanan,
maid, taska dan sebagainya BUKAN TANGGUNGAN SUAMI kecuali jika suami
mampu dan sukarela menanggungnya. Itu saja fokus kami agar anda kira
semula untung ruginya isteri bekerja.
Memang kebanyakkan kes yang diajukan kepada kami
adalah isteri ingin berhenti bekerja namun ekonomi keluarga tidak
mengizinkan. Dalam hal ini isteri yang bekerja adalah atas dasar
perintah suami walaupun tidak begitu rela. Isteri seharusnya berusaha menjaga diri menjauhi segala fitnah nusyuz jika keadaan memaksa mereka bekerja.
Bilamana
gaji suami kecil dan tidak mencukupi, hendaklah diatur melalui prioriti
perbelanjaan. Segala keperluan asas rumah tangga harus ditanggung oleh
gaji suami dahulu. Apabila itu tidak mencukupi barulah menggunakan gaji
isteri. Perbelanjaan asas rumahtangga adalah jihad fi-sabilillah bagi seorang suami.
Oleh itu Pemberian pendapatan isteri kepada suami menjadi harus atas
dasar darurah. Harus diingat darurah itu bersifat sementara, bukan
selamanya. Suami harus berusaha keras untuk segera menamatkannya.
Oleh
itu jika setelah gaji suami habis namun masih ada yang kurang,
disitulah datangnya harus bagi isteri menyerahkan pendapatannya untuk
sara keluarga. Isteri pula harus niatkan sebagai infak atau sedekah
kepada suaminya yang kekurangan. Suami pula harus ingat itu hanyalah
ikhsan isteri dan mereka berhutang MORAL dengan mereka.
BAGAIMANA SUNNAH KHADIJAH RA YANG MEWAKAFKAN HARTANYA?
Inilah
pokok hujah yang membolehkan suami menggunakan harta isteri. Namun
lihat dahulu untuk tujuan apa? Ia HANYALAH untuk tujuan jihad fi
sabilillah, bukan sewenang-wenang untuk memenuhi kepentingan peribadi
sang suami semata-mata.
Terlalu ramai kes yang diajukan kepada
kami merujuk situasi dimana suami mengambil kesempatan dari keberadaan
harta isteri. Begitu ramai suami yang lepas tangan tentang bil semasa
dan belanja makan pakai keluarga hanya kerana isteri bergaji dan
berharta. Sekali lagi kami ulangi itu bukan yang kami sarankan. Suami
begini adalah dilaknat Allah dan isteri yang bersabar dengan suami
seperti ini mendapat ganjaran yang sangat besar disyurga jika mereka
redha dan terus bersabar.
Lebih malang lagi dimana ada suami yang
mengambil mudah akan tanggungjawab mereka. Isteri dan anak diajak duduk
serumah dengan mertua. Tambahan pula ibu suami terlalu memanjakan anak
lelakinya. Lebih parah lagi bila peraturan Islam tidak berjalan dalam
percampuran warga di rumah mertua. Isteri akan tertekan kerana tiada
kebebasan mengurus rumahtangga dan terlalu kerap berlaku konflik dengan
keluarga mertua. Boleh anda bayangkan bagaimana suami dayus ini mampu
membina syurga rumahtangga?
Ramai juga suami yang merokok, kaki
mabuk, masih menghabiskan masa berpoya-poya dengan aktiviti clubbing,
mementingkan hobi berlebihan seperti bermotor besar, modifikasi kereta,
drifting, memancing, golf, berjudi dan banyak lagi. Semuanya
menghabiskan wang sendiri dengan mengabaikan tanggungjawab rumah tangga.
Bukan sahaja isteri harus memikirkan belanja keluarga, malah suami
turut meminta wang untuk memenuhi hobi sendiri.
Lebih menjijikkan
lagi bagi para suami yang malas bekerja, tetapi tidak habis-habis
menambah isteri yang bekerja, kononnya menyanyikan sunnah poligami.
Isteri tua sering menjadi mangsa. Perhatikan kes study yang telah kami
berikan.
Kes-kes
sebegini amat dikesali dan ia tidak Islamik sama sekali. Tentunya suami
begini dalam katagori dayus dan tempatnya adalah neraka jahannam. Apa
itu jahanam dalam rumah tangga? Rasanya anda boleh bayangkan sendiri…
HUTANG SUAMI TERHADAP ISTERI?
Soalan
ini mudah sahaja. Jika isteri memberi dengan ikhlas kerana kasihan dan
sayangkan suami yang baik, ia tidaklah menjadi hutang dan tiada isu
lagi.
Apabila isteri
tidak redha, suami pula setuju dengan akad ‘pinjam/berhutang’ wang untuk
contohnya belanja rakan pejabat makan-makan atau nak beli motor besar,
nak kawin satu lagi… maka HUTANG WAJIB DIBAYAR dan isteri boleh menuntut.
Jika satu masa suami kembali berakhlak dan isteri redha, hutang boleh
dihapus kira oleh isteri atas dasar kasih sayang. Itulah hakikat bahawa
perkahwinan itu satu perkongsian. Kerana itu segeralah ajak suami anda
kembali kepada cara hidup Islam yang sejahtera.
KESIMPULAN
Apa
sahaja harta peribadi yang tidak dari hasil pemberian suami sewaktu
bernikah tidaklah menjadi hak suami sama sekali secara hukum. Ini
termasuklah wang simpanan isteri sebelum berkahwin, harta pemberian atau
pusaka dari keluarga isteri atau apa sahaja. Namun jika ada keperluan
yang jelas ada siroot dan jihad sabilnya, bukan atas jalan maksiat lalu
isteri mahu memberi dengan rela atas dasar kasih sayang terhadap suami,
maka ia menjadi harus.
Pemberian
isteri kepada suami atau permintaan mendesak dari suami yang
mengabaikan nafkah keluarga, bahkan untuk memenuhi hobi dan nafsu gila
suami adalah HARAM. Ini boleh manggalakkan kemaksiatan dan budaya dayus
di kalangan suami. Hasilnya pasti NERAKA RUMAHTANGGA.
Kami harap
kami sudah menjawab setiap persoalan yang bermain di minda anda yang
bertanya. Cetusan kami mengikut apa yang kami kaji dan amalkan. Jika
anda ada ketetapan yang lebih baik, sila jangan memberatkan minda untuk
mengikuti cetusan kami ini.
No comments:
Post a Comment