CINTA PASANGAN
Hubungan suami isteri dibina atas cinta dan
rahmat. Ia tidak dibina atas selera seks semata tanpa rasa kasih dan
rahmat. Tidak juga atas kehendak wanita yang mahukan nafkah dan tempat
tinggal semata. Jika hanya atas selera seks, atau atas keperluan untuk
makan dan pakai ataupun kepentingan yang lain tanpa ikatan cinta dan
rahmat, kehidupan suami isteri tidak akan bahagia. Itu sebenarnya
hubungan untuk mengambil kesempatan atas kepentingan tersendiri antara
pasangan. Akhirnya ia akan melahirkan
rasa tidak puas hati dan kebencian. Rasa cinta dan kasih simpati dalam
hubungan pasangan adalah fitrah alam ciptaan Tuhan.
Firman Allah:
(maksudnya) “Dan di antara tanda-tanda kebesaranNYA, bahawa Dia
menciptakan untuk kamu pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu
bersenang mesra dengannya, dan dijadikannya antara kamu (suami isteri)
perasaan kasih sayang dan rahmat (belas kasihan). Sesungguhnya yang
demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang
berfikir”. (Surah ar-Rum, 21)
Sesiapa yang kononnya mencintai
ataupun dicintai pasangannya hanya kerana kedudukan ataupun hartanya
maka sesungguhnya dia sedang hidup di luar dari ‘natural design’ yang
Tuhan tetapkan untuk kehidupan pasangan suami-isteri. Sesiapa yang
disayangi kerana harta ataupun kedudukannya semata, hakikatnya dia tidak
disayangi ataupun dicintai tetapi sedang dikhianati. Apabila kedudukan
dan hartanya hilang, maka dia akan melihat kepalsuan kehidupan.
Dr MAZA
No comments:
Post a Comment