Sunday, January 26, 2014

Orang Pahang serang Kuala Lumpur

 | January 26, 2014
Orang Mendahiling tewas dan Hulu Kelang ditawan oleh orang Pahang.
Sejarah Kuala Lumpur (siri empat)
Selepas peristiwa bergaduh dengan Sipahi, Kuala Lumpur aman semula tetapi selama sebulan sahaja. Orang Pahang dikatakan hendak melanggar Kuala Lumpur dan mereka telah hampir ke Hulu Kelang dengan beribu orang.
Menurut Abdullah Hukum, ketua-ketua orang Pahang ialah Panglima Garang Ishak, Mat Saman Datuk Gajah, Orang Kaya Pahlawan, Orang Kaya Jeli, Orang Kaya Temerloh, Datuk Muda Sulaiman dan Imam Perang Mahkota.
Peperangan pun meletus di Hulu Kelang di antara orang Mendahiling dengan orang Pahang yang mengambil masa beberapa lama. Orang Mendahiling tewas dan Hulu Kelang ditawan oleh orang Pahang.
Raja Layang yang menyebelahi Sipahi dahulu sampai di Sungai Ujong mendapatkan Syeikh Muhammad Taib, Syeikh Muhammad Ali dan Haji Muhammad Salleh bekas Penghulu Rawang.
Raja Layang dapat mengumpulkan ramai pengikut dan dia bersama beratus-ratus orang berangkat ke sebelah hilir Kajang lalu membuat kubu di situ hendak menyerang Kajang, Berita itu sampai di telinga Raja Berayun dan beliau memberitahu Raja Mahmud di Kuala Lumpur.
Raja Mahmud sangat murka kepada Raja Layang. Raja Layang lari ke Rekoh. Raja Mahmud mencari Raja Layang di Rekoh.
Abdullah Hukum melihat btapa ganasnya Raja Mahmud di Rekoh. Apabila dia jumpa orang Minangkabau, ditanyanya siapa ketuanya. Bila orang Minangkabau itu menjawan Raja Layang ketuanya terus ditikam oleh Raja Mahmud.
Raja Mahmud terus ke pekan Rekoh. Dia berjumpa orang Minangkabau bernama Haji Abdul Samad, Raja Mahmud terus bertanya siapa ketua Haji Samad. Haji Samad, Raja Mahmudlah.
Raja Mahmud terus memeluk Haji Samad yang memang dia berniat membunuhnya jika Haji Samad menjawab ketuanya adalah Raja Layang. Selepas itu Raja Mahmud balik ke Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur tidak aman ketika itu. Setiap bangsa berpihak kepada salah satu kumpulan yang bergaduh. Menurut Abdullah Hukum, hanya satu bangsa sahaja yang berkecuali iaitu orang Kerinchi yang terus bekerja menggalas beras dari Seremban ke Kuala Lumpur.
Raja Mahmud yang mendengar orang Pahang yang berada di Hulu Kelang mahu menyerang Kuala Lumpur telah menjadi gusar. Orang Pahang sudah sampai di Tangga Cina. Orang Kuala Lumpur pergi ke Tangga Cina dam peperangan pun berlaku.
Raja Mahmud dan Abdullah Hukum pergi ke Ampang dan berperang dengn orang Pahang. Apabila makanan sudah habis Raja Mahmud balik ke Kuala Lumpur duduk dalam kubu. Orang Pahang pun terus bergerak ke Kuala Lumpur apanila mengetahui Raja Mahmud sudah tiada di Ampang.
Apabila Raja Mahmud berundur, orang Pahang terus mendesak dan Kuala Lumpur terkepung. Raja Layang yang lari ke Rekoh tiba di Kuala Lumpur dan menyebelahi orang Pahang.
Pahlawan kedua-dua pihak tiap-tiap hari bertempik meminta lawan tetapi mereka yang berada jauh tidak keluar berlawan. Peperangan berlaku apabila musuh berani melanngar kubu atau orang dalam kubu berani keluar menyerang musuh.
Perang hendap menghendap ini berjalan beberapa lama. Abdullah Hukum berkata bertahun juga perang ini berlaku kerana ketika itu Kuala Lumpur terkepung . Orang Kuala Lumpur susah cari makanan, nasi dianduk dengan umbut dan mempulur.
Dalam suasana makanan makin kurang, muncul seorang wanita berumur 20 tahun bernama Cik Putih yang sanggup berperang. Cik Putih isteri Raja Asal (ketua jawa) bersedia menjadi ketua perang. Maka mereka pun menuju ke Bukit Timbalan tempat orang Pahang dan Raja Layang berkubu.
Maka berlakulah perang secara berhadapan. Sehingga petang perang berakhir musuh tidak tewas. Orang pahang dan Raja Layang balik ke tempatnya manakala Cik Putih balik ke kubu dengan dengan rasa hampa kerana musuh masih kuat.
Oleh kerana musuh masih kuat, orang Kuala Lumpur buat keputusan berundur ke Pudu. Dari Pudu mereka ke Hulu Kelang, Hulu Gombak, Hulu Batu dan Batu. Dari situ lari ke Parit Tengah Bukit Kancing dan akhirnya Raja Mahmud lari ke Kuala Kubu.
Ayah Raja Mahmud, Tengku Panglima Raja tinggal di Cheras bersama Raja Berayun dan Raja Mampang. Abdullah Hukum dan empat orang kawannya tak kuasa nak lari. Mereka bersembunyi dalam hutan Kanching dan selepas itu mereka lari ke Mantin selama enam bulan.
Abdullah Hukum mendapat khabar Raja Mahmud tiba di Kepayang (antara Batang Labu dan Seremban). Gundik Raja Mahmud dilarikan orang Bugis dari Kuala Langat. Raja Mahmud menyiapkan benteng di Bangi hendak menuntut bela. Sungai Langat yang sampai ke Bangi boleh hilir ke Kuala Langat yang mana melalui sungai itu gundik Raja Mahmud dilarikan Datuk Penggara (orang Bugis itu).
Pada masa itu. Timah tidak boleh diturunkan ke Kuala Langat kerana kapal perang Inggeris ada di sana, maka timah dibawa ke Seremban dengan cara menggalasnya.
Orang yang mengambil upah menggalas timah ialah orang Kerinchi dan orang Cina. Pada satu hari orang Kerinchi yang menggalas timah telah dirompak oleh Panglima Muda Sepajar orang Raja Mahmud. Dalam rompakan itu, seorang Kerinchi terbunuh.
Maka orang Kerinchi Sungai Ujong (Seremban) bermesyuarat untuk meminta ganti rugi dari Raja Mahmud di Bangi. Raja Mahmud bersetuju membayar ganti rugi kepada orang Kerinchi. Pada masa yang sama Raja Mahmud tanya perihal orang Bugis di Rekoh.
Orang Bugis di Rekoh memang bercadang menyerang Raja Mahmud. Orang Bugis disertai orang Tembusi, orang Kampar dan orang Kerinchi.
Dalam peperangan itu orang Bugis lari kerana mereka belum bersedia ketika diserang oleh Raja Mahmud. Apabila orang Bugis lari, maka negeri pun aman. Itulah peperangan terakhir di darat Selangor, kata Abdullah Hukum. Selepas perang tamat, Abdullah Hukum duduk di Semenyih selama dua tahun berniaga kain.
Semenyih ketika itu di bawah perintah Raja Husin manakala Kajang, Rekoh dan Hulu Langat di bawah perintah Raja Kahar ibni Sultan Abdul Samad. Dari Semenyih, Abdullah Hukum pindah ke Langat membuka sawah selama dua tahun.
Ketika berada di Hulu Langat Abdullah Hukum sempat memandang wajah Sultan Abdul Samad yang melawat Hulu Langat. Kemudian Abdullah Hukum berpindah ke Kuala Lumpur menuju rumah Raja Bot dan Raja Sham. Ketika itu Abdullah Hukum mendengar kata Raja Bot bahawa perang sudah berhenti kira-kira 30 tahun.

No comments:

Post a Comment