Sebuah Pengalaman mengenai Jodoh
Bagaimana seorang pelajar tahun akhir universiti yang hampir bunuh diri
kerana depresi (tekanan) setelah ditinggalkan kekasih mengubah
kehidupannya 180 darjah menjadikannya insan yang paling bahagia di muka
bumi ini dengan perkahwinan di usia awal. Berikut adalah coretan terus
dari hati dan mata pena beliau.
*****
Saya berusia 21
tahun, dan sudah berkahwin. Masih muda bukan? Suami saya berusia 23
tahun. Juga masih muda. Kami berdua masih belajar. Jadi, mengapa
berkahwin? Kalau ikut kata mak ayah, "Nak bagi bini makan apa? Pasir?"
Perjalanan cinta saya tidak mudah. Sebelum berkahwin, saya pernah teruk
dikecewakan bekas kekasih. Dia minta masa 3 tahun dari tarikh kami
'declare', untuk bersedia untuk berkahwin. Hampir 3 tahun, saya
ditinggalkan untuk perempuan lain. Kecewa? Sudah tentu. Jujur, saya
hampir bunuh diri. Saya mengalami tekanan hidup sehingga tidak berhubung
dengan dunia luar.
Tapi selepas itu baru saya sedar kehadiran
suami saya yang sudah 4 tahun menunggu peluang. Pada mulanya, saya
ingat sekadar 'cinta rebound', tetapi selepas 2 bulan berkenalan dan
bercintan, suami saya melamar untuk berkahwin. Pada mulanya, saya ingat
satu gurauan. Akhirnya si dia berani hubungi ayah saya dan minta izin
untuk berkahwin kerana takut kehilangan saya lagi.
Ayah saya
pun dahulu berkahwin ketika belajar; ketika beliau tahun 1 peringkat
ijazah. Suami saya pelajar perubatan tahun 3, dan saya cuma tinggal 2
bulan untuk mengakhiri pengajian. Ayah saya bersetuju memandangkan saya
sudah kecewa, takut juga pisang berbuah dua kali. Akhirnya, kami
berkahwin. Dengan mahar RM 200, sebentuk cincin emas, tiada hantaran,
tiada majlis, kami bernikah.
Simple bukan? Kenapa perlu pening?
Kalau anda lelaki, anda mesti ingin berikan segala yang terbaik untuk bakal isteri anda.
Dan, kalau anda perempuan seperti saya, semestinya inginkan hantaran
yang tinggi (lulusan ijazah sekarang, hantaran RM10K ke atas). Perlu
tidak?
Maaf perempuan, kalau terasa. Saya bukan jual diri,
saya tidak perlukan hantaran RM10-20K. Saya tidak letak harga untuk
nilai diri sendiri dan harga cinta saya. Ini masalah kalau kita kahwin
cara Melayu; bukan cara Islam.
Saya perempuan lulusan ijazah,
saya ada tulang 4 kerat, dan saya boleh berusaha, kenapa perlu mengharap
dengan lelaki? Suami bukan untuk dibebani, tapi untuk disenangi. Isteri
bukan untuk dibeli, tapi untuk dikasihi.
Kos kahwin sekarang
paling rendah pun RM20K serba serbi. Hantaran, majlis, belum baju,
pelamin. Tapi cuba fikir, perlu tidak? Baju raya kan masih ada, cantik
lagi. Kasut raya pun masih baru.
Kenapa perlu buat majlis di
hotel, dewan orang ramai kan ada? Kalau rasa sangat mahal untuk
katering, boleh upah orang masak, tinggal sediakan bahan dan peralatan.
Bersanding tak perlu, buat penat badan duduk macam tunggul depan orang.
"Seganlah. Nanti orang kata apa."
"Isk, buat malu belajar tinggi-tinggi, tak dapat hantaran."
Hai, ni mentaliti Barat. Bagi yang beragama Islam, ingat rukun nikah.
Tanggungjawab selepas kahwin yang penting. Lebih baik duit sewa pelamin
jadi duit persiapan untuk anak pertama. Prioritikan penggunaan duit
anda. Kos bersalin bukan murah. Kalau di hospital kerajaan, paling
kurang perlu ada RM400-500. Tapi di hospital swasta, minimum RM2000. Kos
ada anak sangat tinggi sekarang.
Pernah cuba lihat harga
setin susu bayi di pasar? Harga lampin pakai buang? Dan sekarang, anda
masih terfikir pelamin itu penting? Ini tak kira duit nak beli
kenderaan, beli rumah. Pening!!
Jadi jangan bebankan diri anda dengan majlis perkahwinan yang membazir dan tidak perlu.
Saya bahagia sekarang. Boleh keluar dengan suami tanpa rasa takut dan
malu, disentuh lelaki bukan mahram. Dan suami saya tidak perlu takut
saya diambil lelaki lain seperti dahulu. Apa semua yang pasangan
bercinta lakukan, kini kami lakukan dengan halal. Dan kami boleh lakukan
lebih dari itu, dengan halal. Tidak perlu risau. Kami aman dan bahagia.
Saya dan suami masih bercinta. Masih belajar mengenal sesama sendiri. Dan percayalah, tak guna bercinta lama-lama.
Seganlah keluar dengan pasangan yang tidak halal untuk anda. Saya dan
suami, masih seperti pasangan yang baru bercinta. Saya mampu tanggung
hidup sendiri, kerja dan cari duit sendiri. Buat apa menyusahkan suami?
Dan suami berusaha belajar bersungguh-sungguh (bagi pelajar perubatan,
anda faham maksud saya), untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Saya
tahu ego lelaki tercabar, tetapi saya jujur cintakan suami saya. Saya
tak ingin jadi beban, cukup asal dia berasa senang dengan saya.
Tidak perlu nafkah yang besar, semampu yang ada saya terima.
Bakal-bakal isteri sekalian, bersyukurlah dengan suami anda. Dan
bakal-bakal suami sekalian, hargai isteri kamu. Terima kekurangan dan
kelemahan pasangan anda. Persamaan membina keserasian, perbezaan itu
melengkapkan. Rezeki Tuhan ada di mana-mana. Jangan putus asa.
Berkahwinlah! Semoga anda semua merasa tenang dan bahagia.
Nota : Perkongsian di atas merupakan satu contoh bahawa perkahwinan di
usia muda merupakan satu pilihan atau option yang ada bagi masyarakat
kita. Walaubagaimanapun, keputusan mendirikan rumah tangga perlu dibuat
dengan hikmah bergantung kepada keadaan pasangan masing-masing kerana
kehidupan selepas bernikah adalah cabaran sebenar dan pastinya kita
inginkan rumah tangga yang berkekalan sehingga akhir hayat.
P/S : nak kahwin cara melayu ke nak kahwin cara islam?..nak ikut adat
ke nak ikut agama? nak kahwin kerana masyarakat ke kerana Allah? Cinta
perlu diuji dalam suka dan duka dengan mata terbuka.
==============================
SHARE & LIKE post ini jika ianya bermanfaat pada anda dan yang lain juga. Sh
No comments:
Post a Comment